"salam..saya nak tanya...umur saya dah 21 thun..tapi berat saya masih
35kg..huhu..macammana saya nak naikkan berat?saya dah makan banyak tapi
tak naik jugak...selera makan saya pun kurang...i need your help...ramai
cakap saya kurus dan kecik."
Ramai yang mengeluh kerana berat
badan berlebihan, tetapi tahukah anda ramai juga mengeluh kerana badan
terlalu kurus? Stigma masyarakat mengatakan orang berbadan besar sebagai
"sihat" dan yang terlalu kurus pula dikatakan "sakit". Sedangkan
kedua-dua terdapat risiko masing-masing. Diatas ialah keluhan salah
seorang pengikut halaman facebook 'Tanya dietititan'. Antara keluhan
yang biasa kita dengar ialah "dah banyak saya makan tapi kerempeng
jugak" atau badan tak naik-naik. Lagi, "famili saya semua kurus kering,
saya pun sama".
Sebelum saya mengulas lebih lanjut tentang
permasalahan di atas, mari kita selami apa? Kenapa? Bagaimana? Keadaan
sebegini boleh berlaku.
Apa definisi kurang berat badan?
Individu yang mempunyai berat badan 15-20% kurang bagi ketinggian atau umur (krause,2000).
Ukuran
IJT atau indeks jisim tubuh juga boleh digunapakai untuk penentuan
kekurangan berat badan. Yakni, individu yang memiliki IJT kurang dari
18.5 dikategorikan dalam golongan kekurangan berat badan.
Punca kekurangan berat badan?
Sebahagian
faktor adalah di sebabkan masalah fizikal dan sebahagian lagi berpunca
dari masalah psikologikall. Berikut antara punca penurunan berat badan:
1) Penyakit
Individu
yang berpenyakit akan menyebabkan penurunan berat badan dan seterusnya
mengalami masalah kekurangan berat badan jika tidak mendapat rawatan
sewajarnya. Antara penyakit yang sering dikaitkan ialah hipertiroidisma,
kanser, batuk kering, kencing manis dan HIV atau AIDS. Keadaan
berpenyakit melibatkan keperluan tenaga meningkat tetapi simptom atau
kesan dari penyakit menyebabkan badan pesakit tidak mampu menampung
keperluan tenaga yang tinggi. Antara kesan atau simptom yang berkaitan
ialah kekurangan selera makan, peningkatan kadar metabolisma, keletihan,
ulser mulut, masalah pencernaan dan sebagainya.
2) faktor psikologi
Antara
masalah psikologi yang sememangnya membawa kepada masalah berat badan
ialah aneroksia dan bulimia. Tetapi, masalah psikologi seperti
kemurungan lebih kerap berlaku dan menyebabkan individu mengalami
kekurangan selera makan, keletihan, tidur sepanjang hari dan sebagainya.
Tetapi tidak dinafikan, individu yang mengalami kemurungan juga akan
mengalami kenaikan berat badan apabila mereka melampiaskan tekanan
mereka dengan makan secara berlebih-lebihan.
3) ubat-ubatan
Terdapat
pelbagai jenis ubat-ubatan yang boleh menyebabkan penurunan berat badan
seperti ubat penahan, ubat penghalang penyerapan lemak atau menghalang
metabolisma karbohidrat atau protein. Terdapat juga ubat yang memberi
kesan sampingan seperti kekurangan selera makan, muntah, loya,
cirit-birit dan sebagainya.
4) senaman berlebihan
Individu
yang mengamalkan senaman berlebihan tanpa diseimbangi dengan keperluan
tenaga yang sewajarnya akan mengalami penurunan berat badan. Para atlet
adalah individu yang berkencenderungan mengalami masalah berat badan
akibat menjalani latihan sukan secara berlebihan.
5) kekurangan enzim
Kekurangan
enzim pencernaan dan penyerapan akan mengganggu proses pencernaan dan
penyerapan nutrisi makanan dan seterusnya menyebabkan gangguan pada
berat badan.
6) faktor genetik
Tidak dinafikan faktor genetik
atau keturunan merupakan salah satu faktor penting. Ini kerana genetik
akan melibatkan cara atau kadar tubuh kita bertindak dan salah satunya
ialah kadar metabolisma. Tidak hairanlah, apabila kita lihat
kecenderungan ibu bapa yang kurus untuk mendapat anak yang juga kurus
lebih tinggi berbanding ibu bapa yang bertubuh besar. Tetapi, tidak
dinafikan juga faktor persekitaran dan didikan dalam keluarga memainkan
peranan yang besar dalam melahirkan keluarga bertubuh ideal.
Risiko kekurangan berat badan?
Risiko
kekurangan berat badan berkaitan dengan kekurangan pengambilan nutrien,
jadi kekurangan ini akan menyebabkan gangguan berdasarkan jenis
kekurangan yang dialami. Sebagai contoh, akibat kurang pengambilan
makanan tinggi kalsium dan nutrien penting lain, individu akan mengalami
kondisi tulang rapuh. Risiko lain pula seperti sistem imuniti yang
rendah dan ketidaksuburan. Semua ini sedikit sebanyak akibat dari
kekurangan pengambilan kalori dan nutrien bagi menampung keperluan
fungsi tubuh.
Jadi, tidak kira apa faktor masalah yang menjadi
punca kekurangan berat badan. Gol atau tujuan penyelesaian ialah untuk
menyeimbangkan pengambilan dan penggunaan kalori. Untuk menaikkan berat
badan, kalori yang diambil mestilah lebih dari penggunaan. Jadi, tip
utama ialah meningkatkan pengambilan kalori harian.
Caranya??
1) Tambah kuantiti makanan
Mungkin
susah untuk kita mengira kalori yang biasa diambil. Tetapi lebih senang
untuk kita menambah kuantiti atau porsi makanan yang diambil. Sebagai
contoh, kebiasaan kita hanya mengambil sesenduk nasi, mungkin sebagai
langkah awal kita menambah sesenduk lagi untuk mendapatkan
sekurang-kurangnya 75kalori tambahan.
Contoh lain, jika kita selalu
mengambil roti sekeping bersama sesudu tuna, mungkin kita perlu menambah
setengah sudu lagi bagi menambahkan nilai kalori dan protein.
Tidak
perlu untuk menambah nasi sehingga dua pinggan jika luar dari kebiasaan
dan seperti memaksa tubuh, tubuh kita juga memerlukan tempoh
penyesuaian. Jadi, tambah porsi makanan secara berperingkat.
2) Tambah waktu makan
Jika
kebiasaan kita makan 3 kali sehari jadikan 6 kali sehari. Bermakna, 3
menu utama mesti diambil iaitu sarapan, makan tengahari dan makan malam.
Selebihnya ialah waktu snek. Dengan cara menambah waktu makan, kita
tidak perlu memaksa diri memakan dalam kuantiti yang banyak untuk
mencapai keperluan kalori harian dalam satu masa. Tetapi, kita membahagi
keperluan kalori dengan masa yang ditetapkan, dan yang penting ialah
DISIPLIN.
Rasa berat atau terbeban untuk makan snek? Senang!
Pastikan anda sediakan snek sihat dalam beg kerja, pantri pejabat, stor
atau peti sejuk di rumah bahkan dalam kereta. Alah bisa tegal biasa.
3) Makan sedikit tapi kerap.
Tip
ini adalah gabungan dua tip diatas. Senang cerita, pilih makanan utama
dan snek yang sihat, kuantiti makanan yang termampu tapi tidak
berlebihan, disiplin waktu makan utama, dan makan snek sihat secara
kerap.
4) Tambah kalori makanan secara sihat
Tidak semestinya
kita perlu memilih makanan yang tinggi dengan gula, lemak tepu dan
garam. Anda tetap perlu makan secara sihat, tambahan kalori boleh
dicapai dengan menambah matjerin, mentega kacang, keju, telur, tuna atau
sardin pada roti sandwic. Juga boleh ditambah, dengan memasukkan minyak
zaitun pada salad atau mayonis pada hirisan buah-buahan.
Kalori juga boleh ditambah dengan penggambilan susu, jus buah-buahan, yogurt dan sebagainya sebagai minuman.
5) kurangkan pengambilan makanan ringan
Ya!
Makanan ringan kaya dengan kalori tetapi ia juga kaya dengan lemak
tepu, gula, garam dan bahan tambahan lain. Anda tidak perlu mengambil
makanan ringan semata-mata untuk menambah kalori harian. Sentiasa
mencari alternatif makanan sihat yang kaya dengan nutrien. Anda tidak
mahu menjadi orang yang berbadan langsing tetapi tinggi kolestrol darah,
bukan?
6) Teruskan bersenam
Mungkin ada antara kita yang
takut untuk bersenam kerana percaya akan mengurangkan lagi berat badan.
Kenaikan berat badan memerlukan penggunaan tenaga yang kurang, ya! Tidak
dinafikan, tetapi bersenam akan menyihatkan tubuh badan, meningkatkan
selera makan serta komposisi otot dalam badan terutamanya senaman angkat
berat. Secara tidak langsung, bersenam juga akan membantu kenaikan
berat badan. Dengan syarat, jangan berlebihan dan makan secara seimbang.
7) Supplemen jika perlu
Ada individu yang cuba mengambil
supplemen protein untuk menambah otot. Tetapi, berhati-hati kerana
terdapat produk yang mengandungi bahan terlarang dan memudaratkan
kesihatan.
Anda perlu berusaha secara sihat sebelum mengambil langkah
alternatif seperti pengambilan supplemen. Dapatkan nasihat pakar
sebelum mengambil mana-mana supplemen.
8) banyakkan bersabar.
Seperti
individu yang ingin menurunkan berat badan, individu yang hendak
menaikkan berat badan juga perlu bersabar, berdisiplin dan istiqamah
dalam mencari dan melaksanakan penyelesaian masalah berat badan.
dipetik dari : http://tanyadietitian.blogspot.com